Sabtu, 30 Mei 2015

CONTOH DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN ( 1 ) KERJA KURSUS P.AM

5.0 DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN

5.1 Adat selepas kelahiran bayi

5.1.1 Temu bual

Jadual 1 : Analisis adat-adat selepas kelahiran bayi dalam masyarakat melayu

Bil
Adat selepas kelahiran bayi dalam masyarakat melayu
Informan 1
Informan 2
Informan 3
Informan 4
1

Apakah adat-adat selepas kelahiran bayi yang diamalkan dalam masyarakat melayu ?
Adat yang saya tahu ialah menanam uri, memberi nama, membelah mulut, bercukur jambul, bersunat.
Adat yang saya tahu ialah menanam uri, memberi nama, membelah mulut, mencukur jambul, naik buai, bersunat.
Adat menanam uri, jejak tanah, mencuci lantai, mencukur jambul, membelah mulut dan bersunat adalah adat yang saya tahu.
Adat naik buai, mencukur jambul, membelah mulut dan bersunat.

            Berdasarkan jadual 1 di atas, pengkaji telah menemu bual empat orang penduduk yang mendiami kawasan Kampung Simpang Sepayang, Kuala Rompin, Pahang untuk mendapatkan maklumat tentang adat-adat selepas kelahiran bayi dalam masyarakat melayu. Keempat-empat penduduk tersebut dijadikan sebagai informan untuk membantu pengkaji dalam menyiapkan temu bual ini.

            Informan pertama mengetahui lima adat selepas kelahiran bayi. Antaranya ialah adat menanam uri, memberi nama, membelah mulut, bercukur jambul dan bersunat. Informan kedua pula, mengetahui enam adat. Antaranya ialah adat menanam uri, memberi nama, membelah mulut, mencukur jambul, naik buai dan bersunat.



Selain itu, informan ketiga juga mengetahui enam adat selepas kelahiran bayi. Antaranya ialah menanam uri, jejak tanah, mencuci lantai, mencukur jambul, membelah mulut dan bersunat. Informan terakhir hanya mengetahui empat adat. Antaranya ialah naik buai, mencukur jambul, membelah mulut dan bersunat.

5.1.2 Adat-adat Selepas Kelahiran

Di kalangan masyarakat melayu, uri cukup dijaga. Selain ditanam beserta dengan pelbagai benda, seperti jarum, paku, dan sebagainya. Sesetengah tempat, ia dipasang lilin waktu malam selama tujuh malam. Antara amalan menanam uri ialah uri hendaklah ditanam bersama jarum atau paku mengelakkan drpd gangguan makhluk halus dan ianya jelas salah kerana kita dilarang terus daripada percaya yang lain selain Allah. Selain itu, uri dilumur garam kasar dan asam gelugur agar bayi tidak menghadapi masalah kulit, berkudis dan terkena sawan. Seterusnya, menanam uri bersama pensil dan buku dengan harapan bayi tersebut akan cepat pandai kelak. Uri yang telah dibersihkan akan dibalut dengan kain putih bersama barang-barang seperti diatas. Setelah uri dibalut, uri tersebut hendaklah diletakkan ke dalam tempurung kelapa dan ditanam.

            Mengikut ajaran Islam, adalah sunat memberi nama yang mempunyai maksud yang baik kepada bayi. Kebiasaannya jika bayi itu lelaki, nama akan diberi mengikut nama para nabi manakala untuk bayi perempuan, nama isteri-isteri atau anak-anak nabi akan dipilih. Mengikut adat melayu, nama akan diberi selepas hari ketujuh kelahiran.

            Lazimnya bayi yang baru lahir akan tanggal pusatnya dalam tempoh seminggu. Pada ketika itu, adat cuci lantai akan diadakan. Adat ini seelok-eloknya dilakukan pada hari Isnin atau Khamis. Bahan-bahan yang digunakan untuk adat cuci lantai ini adalah nasi kunyit dan lauk-lauk, seekor ayam hidup, paku, buah keras, asam, garam dan sirih pinang. Sepersalinan pakaian juga akan dihadiahkan kepada bidan yang menguruskan adat ini. Upacara adat cuci lantai ini dimulakan dengan kenduri doa selamat. Selepas itu bidan akan memulakan jampi serapahnya sambil memegang ayam dengan cara mengais-ngaiskan kaki ayam ke atas lantai tempat wanita itu bersalin. Seterusnya lantai itu akan dibersihkan. Mak bidan akan menjalankan keseluruhan upacara ini. Sebelum itu, si ibu dan si bayi akan dimandikan, diurut dan dibedak. Selesai upacara tersebut, bahan yang digunakan tadi beserta sedikit wang akan dihadiahkan kepada bidan tersebut.

            Adat membelah mulut dilaksanakan dengan menjemput ahli keluarga terdekat dan orang-orang berilmu yang bertutur kata baik, tidak jahat dan kasar untuk melakukan adat ini. Bahan yang digunakan adalah air zam-zam dan cincin emas. Kemudian dijemputlah orang yang berilmu dan bertutur kata elok itu untuk membelah mulut bayi tersebut dengan mencecah cincin ke dalam air zamzam serta menyapu di antara dua bibir bayi sambil membaca Bismillah dan selawat ke atas Rasulullah dan berdoa agar bayi itu bercakap perkara yang baik serta beradab waktu bercakap dan semoga dilimpahkan dengan rezeki yang halal.

            Adat cukur jambul kebiasaannya dilakukan pada hari ketujuh kelahiran. Untuk menjalankan upacara ini beberapa kelengkapan disediakan. Antaranya ialah sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras kunyit dan bertih. Selain itu, sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk. Kemudian kelapa itu diletakkan di dalam sebiji batil. Biasanya kelapa itu dihias, umpamanya dengan melilitkan rantai emas atau perak di kelillingnya. Pada hari itu, bayi dipakaikan dengan pakaian cantik dan diletakkan di atas talam yang dialas dengan tilam kecil atau didukung oleh bapa atau datuknya. Si bayi seterusnya dibawa ke tengah majlis dan disambut oleh hadirin lelaki sambil berselawat. Si bayi akan ditepung tawar serta ditabur beras kunyit dan bertih. Para hadirin secara bergilir-gilir akan menggunting sedikit rambut bayi tersebut dan dimasukkan ke dalam kelapa tadi. Bilangan orang yang menggunting rambut bayi tersebut hendaklah dalam bilangan yang ganjil, iaitu tiga, lima, tujuh dan seterusnya. Setelah selesai pihak lelaki menjalankan acara menggunting, pihak perempuan pula mengambil alih. Setelah selesai kedua-dua pihak menjalankan adat bercukur barulah kepala bayi tersebut dicukur sepenuhnya oleh bidan atau sesiapa sahaja yang boleh melakukannya. Kesemua rambut yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan.

            Adat naik buai ini merupakan satu-satunya majlis yang masih diamalkan dan mendapat sambutan di kalangan masyarakat Melayu hari ini. Semasa upacara ini dijalankan bayi tersebut akan diletakkan di dalam buaian yang menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga, nazam atau marhaban akan dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita. Seterusnya bunga telur dan bunga rampai akan dihadiahkan kepada kumpulan ini.

            Adat jejak tanah pula dilakukan sebagai meraikan anak yang baru pandai berjalan. Turun tanah bermakna seorang anak kecil dilepaskan untuk memijak tanah sebagai lambang meneruskan kehidupannya. Lazimnya kenduri doa selamat diadakan untuk mengiringi upacara ini. Selepas kenduri selesai, tikar dibentang di hadapan tangga sebagai alas kanak-kanak berkenaan berjalan. Di atas tikar disediakan beberapa dulang yang berisi pelbagai jenis barang, termasuk makanan dan minuman. Antara barangan yang diletakkan di dalam dulang itu ialah cermin, sikat, jam tangan, gelang, cincin, rantai, bedak, kain, kasut, gunting, bubur, air sejuk dan wang. Lazimnya jumlah barangan yang diletakkan adalah ganjil. Kanak-kanak tersebut akan dibiarkan bergerak memilih barang tersebut dan dihadkan mengambil tiga barangan sahaja. Menurut kepercayaan orang Melayu juga, adat ini dilakukan untuk meramal masa depan kanak-kanak itu berdasarkan barangan yang diambil. Umpamanya jika kanak-kanak itu mengambil gunting, kelak dia kuat bekerja atau pandai membuat kerja tangan. Adat ini juga boleh dilakukan secara sederhana iaitu dengan memijakkan kaki kanak-kanak itu ke piring-piring kecil yang berisi dengan padi, beras, tanah dan beberapa jenis daun yang telah dijampi oleh mak bidan. Seterusnya bayi itu dijejakkan ke tanah dan doa dibaca.



            Adat bersunat bagi bayi perempuan lazimnya dilakukan ketika bayi itu masih kecil iaitu beberapa hari selepas dilahirkan. Namun demikian, kebanyakan kanak-kanak perempuan akan menjalani upacara ini sekurang-kurangnya ketika berumur setahun atau lebih. Adat ini akan dijalankan oleh bidan. Bagi kanak-kanak lelaki, mereka akan menjalani adat bersunat atau juga dipanggil berkhatan ketika umur mereka dalam lingkungan 8 hingga 12 tahun. Adat berkhatan akan dijalankan oleh Tok Mudim. Di dalam ajaran Islam, bersunat atau berkhatan adalah wajib kerana Islam menitikberatkan kesucian lahir dan batin. Di samping itu juga,ia baik dari segi kesihatan.

Tiada ulasan :